MOHD Sufian memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin dobi di kedainya.

Kota Bharu: “Apa yang saya lakukan ini untuk saham akhirat, selain membantu pengunjung masjid bersolat menggunakan pakaian bersih,” kata pengusaha kedai dobi, Mohd Sufian Mat, 26, yang mengambil inisiatif sendiri mencuci pakaian solat di masjid dan surau secara percuma.

Beliau mengusahakan kedai dobi di Lembah Sireh sejak dua tahun lalu menjalankan perkhidmatan cucian percuma sejak awal tahun ini.

“Saya terpanggil membuat amal kebajikan ini apabila singgah di sebuah masjid di Kota Bharu selepas mendapati kain pelekat yang disediakan berbau dan tidak selesa dipakai untuk menunaikan solat.

“Memandangkan saya mengusahakan kedai dobi, tanpa berfikir panjang saya membuat keputusan menyediakan perkhidmatan cucian percuma,” katanya di premisnya iaitu I.S.A. Laundry, di sini, baru-baru ini.

Mohd Sufian berkata, sejak itu beliau mula ke masjid dan surau di sekitar Kota Bharu untuk mengumpulkan pakaian solat termasuk telekung wanita, kain pelikat dan sejadah untuk dibasuh di premisnya.

“Saya berbincang dengan pengurusan di stesen bas serta pasar raya berhampiran untuk menyediakan perkhidmatan itu secara percuma.

“Pada masa sama, saya turut menghebahkan menerusi laman sosial sejak beberapa bulan lalu meminta orang ramai menghantar pakaian solat yang kotor dari masjid dan surau untuk dicuci,” katanya.

Menyifatkan aktiviti itu sebagai amal jariahnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, sebelum ini dia membuat perkara sama dengan menjual plastik kepada pelanggan kedainya dengan sebahagian jualan dimasukkan ke tabung masjid.

“Mulai tahun hadapan saya mengenakan caj RM2 untuk pelanggan yang meminta kami mencuci pakaian mereka dan caj itu akan dibahagi dua yang separuhnya dimasukkan ke tabung masjid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:44 AM