ANGGOTA polis memeriksa kereta Mercedes-Benz yang digunakan suspek.
Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Tindakan 15 anggota polis meredah kesesakan lalu lintas untuk mengejar tiga lelaki warga asing menaiki sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam yang melarikan wang tunai RM60,000 milik seorang ahli perniagaan di depan sebuah bank di Jalan Beserah, semalam bagaikan aksi dalam filem.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, anggota Unit Peronda Polis (MPV) dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuantan berjaya memberkas seorang daripada suspek manakala dua lagi memboloskan diri ke dalam Hutan Lipur Taman Bukit Pelindung.

Difahamkan, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran untuk mengarahkan suspek berhenti namun tidak diendahkan dan suspek terus memecut kenderaan itu dari Jalan Teluk Sisek sebelum berhenti di Hutan Lipur Taman Bukit Pelindung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun yang menguruskan sebuah syarikat pengangkutan di bandar ini mengeluarkan wang tunai RM60,000 di sebuah bank di Jalan Beserah untuk membayar gaji pekerja.

“Mangsa yang berasal dari Kuantan kemudian meletakkan wang itu di tempat duduk penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya sebelum berjalan ke sebuah bank lain untuk menyelesaikan urusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan wang miliknya selepas kembali ke kenderaan itu sebelum dimaklumkan orang awam yang kebetulan menyaksikan seorang lelaki memecahkan cermin bahagian penumpang dan membawa lari sampul surat mengandungi wang tunai berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kemudian membuat hebahan dan anggota MPV berjaya mengesan kenderaan dinaiki suspek di Jalan Teluk Sisek.

Abdul Aziz berkata, anggota MPV yang dibantu anggota URB cuba memintas kenderaan itu namun suspek memecut melarikan diri hingga hampir terlanggar beberapa kenderaan orang awam yang berhenti di lampu isyarat di jalan berkenaan.

“Polis mengambil masa hampir setengah jam mengatasi kesesakan lalu lintas ketika mengejar suspek dari Jalan Teluk Sisek sebelum kenderaan itu berhenti di Hutan Lipur Taman Bukit Pelindung kerana terperangkap di sebuah tapak pembinaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:21 AM