LOGENDRAN dibawa keluar dari  Mahkamah Majistret selepas didenda.
LOGENDRAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas didenda.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang lelaki didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri 150 kelapa bernilai RM400 di Bukit Baru di sini, Ogos lalu.

Pengakuan A Logendran, 35, dibuat di hadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas tertuduh mengangguk faham terhadap tuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan tuduhan, tertuduh bersama-sama individu yang masih bebas didapati mencuri 150 kelapa milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bernilai RM400 tanpa kebenaran di tepi jalan besar Kampung Pengkalan Batu, Bukit Baru, jam 12.30 tengah hari, 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar merayu denda dikurangkan dengan alasan tertuduh berpendapatan RM1,000 sebulan selain menanggung bapa dan isteri yang hamil serta seorang anak selain menghidap asma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:29 AM