KEADAAN kenderaan terbabit dalam nahas yang meragut dua nyawa.
KEADAAN kenderaan terbabit dalam nahas yang meragut dua nyawa.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Dua lelaki maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 20, Jalan Labuk, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa Hasran Namang, 33, dan Ramli Tapa, 36, yang menaiki Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, siasatan awal mendapati dua mangsa bersama tiga lagi rakan mereka dalam perjalanan ke Telupid sebelum terbabit dengan nahas itu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah pacuan empat roda dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan lalu termasuk ke laluan kanan sebelum bertembung dengan kenderaan mangsa.

“Sebuah van yang berada di belakang Perodua Viva berkenaan difahamkan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan mangsa.

“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Perodua Viva tersepit dengan dua maut di tempat kejadian manakala tiga lagi parah.

“Penumpang pacuan empat roda itu turut mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan semua mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zabidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:25 AM