DR Daroyah (lima dari kiri) merasmikan Majlis Perasmian 10,000 Langkah Sihat Selangor.

Bangi: Kerajaan Negeri Selangor dijangka menambah peruntukan tahun depan dalam menangani isu denggi di negeri itu berbanding peruntukan sedia ada iaitu sebanyak RM1.5 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk menggunakan perkhidmatan operator kawalan serangga sebagai tenaga kerja tambahan kepada kakitangan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negeri.

Bagaimanapun katanya, kes denggi di Selangor menunjukkan trend menurun berikutan usaha bersama yang dilakukan oleh semua PBT dan PKD untuk mengawal penularannya.

“Tahun depan, kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan yang lebih dalam usaha menangani masalah denggi di Selangor. PBT dan PKD yang tidak mempunyai kakitangan yang cukup akan dibantu dengan perkhidmatan operator kawalan serangga namun mereka akan dipastikan syarikat berlesen, terlatih dan pakar serta mahir dalam penggunaan bahan kimia.

“Peruntukan itu akan diumumkan dalam Bajet Selangor 2017 nanti namun setiap tahun kita menerima peruntukan sekitar RM1.5 juta dalam menangani masalah denggi. Bagi di peringkat PBT, mereka juga mempunyai bajet masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:15 AM