ILP Kepala Batas menerima hadiah kemenangan daripada Dr Abu Bakar (berdiri, tengah) pada pertandingan Robot Tempur Malaysia 2016 di Dewan Utama Pekan Rabu, Kluang.

Kluang: Kecundang di separuh akhir Pertandingan Robot Tempur Malaysia pada 2013 memberi semangat baru kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang untuk memperbaiki kelemahan robot ciptaan mereka sehingga dinobatkan juara pada pertandingan tahun ini, kelmarin.

Ketua pasukan Mohd Fadli Sulaiman berkata, menggunakan robot yang dinamakan Bertam 1, pasukannya bersaing dengan tiga pasukan lain di peringkat akhir dalam pertandingan kali ini yang diadakan di Pekan Rabu, di sini.

Katanya, mereka berempat membuat persiapan sejak tiga bulan lalu dengan menyertai beberapa kejohanan tempatan sebagai ujian dan membaiki kelemahan sebelum bertarung di peringkat kebangsaan.

“Bukan mudah untuk bersaing dengan 40 pasukan yang mengambil bahagian kerana mereka juga sudah tentu membuat persiapan rapi untuk menampilkan robot yang boleh berhadapan dengan apa juga serangan.

“Bergelar juara selepas dua kali menyertai kejohanan ini banyak memberikan inspirasi kepada kami untuk meningkatkan lagi kekuatan serta kecekapan Bertam 1 bagi bersaing dalam apa saja kejohanan membabitkan pertarungan robot di negara ini,” katanya.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pengkomersialan) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kua Abun dan Pengarah Pusat Sains Negara Mismah Jimbun.

Pertandingan berlangsung dari 11 hingga15 Oktober membabitkan 40 pasukan terdiri daripada penuntut pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut latihan pendidikan seluruh negara.

Ia bertujuan meluaskan capaian jangkauan kesedaran pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada semua masyarakat di peringkat akar umbi, malah pertandingan kali ini turut mengadakan pameran Mini Sains, Teknologi, Inovasi dan Robotik (STIR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:34 AM