IDRIS (tengah) pada Karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi, semalam.
IDRIS (tengah) pada Karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi, semalam.

Jertih: Tempoh pengajian di universiti dapat dipendekkan daripada empat tahun setengah kepada setahun setengah dengan pelaksanaan pengakreditan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu menerusi Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL C)

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan APEL C yang menggabungkan pengalaman kerja dan pembelajaran secara atas talian dapat memendekkan tempoh pembelajaran dari empat tahun setengah kepada setahun setengah.

Beliau berkata, empat universiti dilantik sebagai pusat melaksanakan APEL C iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), INTI International University, Wawasan Open University dan Open University Malaysia (OUM).

“Pihak universiti itu boleh menilai pengalaman kerja bakal pelajar sebelum diterima masuk ke pusat pengajian mereka.

“Sebelum ini, hanya APEL A saja diperkenalkan pada tahun 2011 untuk menarik golongan bekerja menggunakan pengalaman mereka bagi melanjutkan pelajaran,” katanya selepas merasmikan Karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Gong Kemuntong, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata, permohonan untuk mendapatkan Sijil APEL A boleh dibuat dengan melayari laman web agensi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:49 AM