MOHD Nur Afif (kanan) dan Mohd Aidil menunjukkan anak ikan yang diperoleh.
MOHD Nur Afif (kanan) dan Mohd Aidil menunjukkan anak ikan yang diperoleh.

Alor Gajah: Fenomena air pasang besar melanda perairan Melaka Barat sejak Isnin lalu memberi khabar gembira buat nelayan khasnya mereka terbabit dalam aktiviti menangkap ketam berikutan anak ikan dijadikan umpan perangkap jenis ‘bento’ semakin mudah diperoleh.

Anak kepada seorang nelayan Mohd Nur Afif Hazim Serli, 16, berkata, dia dan rakannya, Mohd Aidil Hafizan, 16, menangkap ikan seperti selar, tamban, selangat, beliak mata dan mempinis dengan lebih mudah semasa air pasang besar.

“Dengan sekali rentang jaring, kami sudah dapat menangkap anak ikan dalam jumlah banyak, kemudian terus dinaikkan ke jeti untuk mencangkuk umpan itu pada bento sudah disediakan.

“Walaupun masih muda, kami kerap turun ke laut untuk memasang bento di pesisir pantai. Setiap bento diikat pada pelampung supaya mudah dikesan jika dihanyutkan arus dasar laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Telok Gong, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Aidil berkata, sebelum ini mereka perlu membuang dan menarik jaring sekurang-kurangnya enam kali sebelum tong umpan penuh.

“Sekarang tidak sampai 15 minit tong sudah penuh dengan anak ikan, kami memang menunggu air pasang besar tetapi kalau berserta ribut barat, perancangan turun ke laut untuk pasang bento ditangguhkan.

“Ketam enak dimasak lemak dengan nanas itu dijual pada harga RM15 satu kilogram (kg) dan boleh mencapai sehingga RM20 satu kg pada musim ianya sudah diperolehi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:14 AM