Ahmad Hanif didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di atas enam pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Sarah Zulkifli

Ampang: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas enam tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM3.1 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Hanif Solhi Omar, 35, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hanif didakwa atas tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menggunakan wang berjumlah RM270,000 melalui cek miliknya di RHB Bank Berhad untuk pembelian empat lot kedai di Prima Business Centre dan Mukim Cheras, Ulu Langat.

Dia turut dituduh atas tiga tuduhan menerima dan memindahkan wang RM747,000 hasil aktiviti wang haram melalui cek miliknya di RHB Bank Berhad.

Ahmad Hanif juga didakwa menggunakan wang berjumlah RM1.9 juta hasil pengubahan wang haram di RHB Bank Berhad dan menerima RM200,000 melalui pindahan daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Global Ventures Network Sdn Bhd ke dalam akaun miliknya.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di RBH Bank Berhad, 37 & 38, Jalan Memanda 7, Taman Datuk Ahmad Razali, Jalan Ampang, di sini, antara 26 Julai 2012 dan 9 Januari 2013.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:32 AM