Nasharuddin MuhammadMuhd Izawan BaharinHairul Azim MahmudHayati IbrahimAmir Abd HamidSiti Fatimah HassanFairul Asmaini Mohd PilusSuraya RoslanYusmizal Dolah AlingMuhammad Saufi HassanFardy BunggaSiti A’isyah SukaimiFazurawati Che LahNur Lela ZulkipliNorizuan ShamsuddinMohd Hasbi SidekNor ‘Asyikin Mat HayinGarret Dawum dan Asrizal Aris dan Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan melancarkan wacana nasional dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi memeta hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, TN50 yang akan digerakkan Kementerian Belia dan Sukan akan bermula sebaik segala proses berkaitan Bajet 2017 selesai.

Menurutnya, TN50 itu akan menjangkau proses dan gerak kerjanya selama tiga dekad bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda ‘par excellence’.

“Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) rencanakan untuk menyediakan generasi baru yang berjaya dalam tempoh 30 tahun, sukacitanya saya mengumumkan, sebaik saja bajet ini selesai, kerajaan akan melancarkan siri dialog nasional bagi memeta hala tuju negara di atas sebuah kanvas yang baru.

“Kalau lembayung gagasan negara yang saya perkenalkan sejak 2010 adalah Dasar Transformasi Nasional atau DTN, maka wacana nasional ini pula saya namakan sebagai TN50,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Bajet berkenaan bertemakan, Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh.

Pembentangan bajet kali ini yang kelapan bagi Najib sejak menyandang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, TN50 akan mula digerakkan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana nasional seperti yang ditetapkan oleh Kabinet.

“Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah tawarikh bahawa kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab, mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Bajet 2017 adalah simfoni bajet untuk rakyat dan kerana rakyat berikutan begitu banyak prakarsa, inisiatif, peruntukan dan ikhtiar murni disediakan untuk rakyat.

Menurutnya, bajet itu sangat komited dan tidak mementingkan kepopularan politik, sebaliknya demi memastikan kedudukan asas ekonomi negara kekal berdaya tahan dan kuat.

Katanya, ia termasuk dasar mengenai sasaran defisit, aktiviti ekonomi yang sudah dirangsang serta kesihatan jangka panjang sistem kewangan negara.

“Bagi kami kegagalan bukanlah pilihan tetapi kejayaan adalah usaha gigih kami,” katanya.

Najib berkata, bajet kali ini digubal dengan berpegang kepada lima prinsip dan falsafah kerajaan iaitu mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara, memelihara kedaulatan, kohesif dan stabil, gigih berusaha dengan arah tuju yang jelas dan berpandukan falsafah Islami yang universal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 6:06 AM
NAJIB membentangkan Bajet 2017 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.