SEBAHAGIAN penduduk Kampung Bruit yang terjatuh ketika melalui laluan tersebut.
LALUAN pejalan kaki yang runtuh di SK Kampung Bruit.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Daro: Pengunjung yang menghadiri sebuah program di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bruit, di sini, gempar apabila laluan pejalan kaki di sekolah itu tiba-tiba runtuh, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, dianggarkan 10 tetamu terjatuh bersama runtuhan satu meter.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika Majlis Perasmian Program Mobile Community Transformation Center yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Menurutnya, seorang wanita Asian Satan, 39 cedera ringan di bahu kanan.

“Kejadian berlaku berhampiran pejabat guru besar sekolah berkenaan dan penduduk kampung yang menghadiri program itu beratur di laluan pejalan kaki untuk masuk ke dewan.

“Bagaimanapun, mereka tidak bernasib baik apabila laluan pejalan kaki yang uzur itu tiba-tiba runtuh, sekali gus menyebabkan 10 penduduk kampung terjatuh,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Bruit untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan tidak mengalami kecederaan teruk.

“Siasatan awal mendapati papan di laluan pejalan kaki itu sudah reput dan dipercayai tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai dalam satu masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:36 AM