JKM Pahang menutup pusat jagaan kanak-kanak kerana tidak berdaftar dan dipercayai cuai dalam penjagaan penghuninya.
Shahrinnhar Latib
am@hmetro.com.my

Kuantan: Sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Cenderawasih, di sini, diarah tutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak berdaftar dan dipercayai cuai dalam penjagaan penghuninya yang terdiri daripada anak yatim.

Jurucakap JKM Pahang berkata, pihaknya menutup pusat jagaan itu pada Rabu lalu selepas melakukan pemeriksaan susulan aduan penduduk sekitar.

Katanya, dalam aduan itu, penduduk memaklumkan pekerja pusat jagaan berkenaan membiarkan kanak-kanak berada di luar pagar rumah pada sebelah malam dipercayai sebagai mendenda mereka.

“Berikutan itu, kita melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan dan mendapati ia bukan saja cuai dalam menjaga penghuninya tetapi tidak berdaftar dengan JKM seperti diwajibkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, penutupan pusat jagaan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 16 Akta Pusat Jagaan 1993 manakala penghuninya iaitu empat kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun diambil JKM untuk tindakan lanjut.

“Penjagaan kanak-kanak terbabit akan diserahkan kepada waris atau keluarga masing-masing selepas perbincangan dilakukan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 20 Akta Pusat Jagaan 1993 dan pemiliknya boleh membuat permohonan untuk mendaftar pusat jagaan berkenaan dalam tempoh 21 hari,” katanya.

Beliau berkata, JKM menasihati pemilik pusat jagaan di negeri ini mendaftar premis mereka dan lebih bertanggungjawab dalam aspek penjagaan penghuni terutama keselamatan serta kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:26 AM