RITHA mengikuti Program Celik Al-Quran Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Kuantan.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Kali pertama saya mengikuti kelas membaca kitab al-Quran, saya begitu seronok dan bangga, ia akan menjadi sejarah manis dalam hidup sampai bila-bila.

“Selepas dua hari mengikuti Program Celik al-Quran, saya mendapati membaca al-Quran tidak terlalu susah. Pada peringkat awal hanya perlu tahu asas yang betul,” kata S Ritha, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist, di sini, kelmarin.

Katanya, selepas tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3, pihak sekolah mengadakan pelbagai program untuk pelajar Islam dan bukan Islam memenuhi masa terluang.

Menurutnya, dia mengambil keputusan mengikuti kelas mengaji al-Quran kerana mahu mengetahui lebih mendalam kandungan kitab suci umat Islam itu walaupun tidak boleh membacanya.

“Saya seronok dapat melalui pengalaman baru yang begitu menarik dan unik ini dan berharap dapat terus mempelajari al-Quran dengan lebih mendalam selepas ini.

“Sebelum mengikuti kelas ini, saya mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa dan mereka tidak menghalang,” katanya ketika ditemui dalam Program Celik al-Quran anjuran Pertubuhan Sukarelawan Al-Quran Pahang di sekolah berkenaan, kelmarin.

Hadir sama Pengetua SMK (P) Methodist Nor Naseha Rosni Mohd Arshad dan Pengurus Komunikasi Korporat Pertubuhan Sukarelawan Al-Quran Pahang Irish Lynn Abdul Razak.

Program selama empat hari itu disertai seramai 114 pelajar termasuk 87 pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan.

Irish Lynn berkata, pihaknya akan mengadakan sebanyak 127 Program Celik al-Quran di sekolah kebangsaan dan SMK di daerah ini hingga tahun depan.

“SMK (P) Methodist menjadi perintis program ini yang menggunakan kaedah lebih mudah dan sesuai digunakan oleh golongan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Nor Naseha Rosni berkata, pihaknya berterima kasih kepada pertubuhan berkenaan kerana memilih sekolahnya menjadi perintis program terbabit.

Beliau berkata, program itu memberikan pendedahan kepada pelajar mempelajari al-Quran dengan cara lebih mudah.

“Program ini amat baik dan sesuai terutama kepada pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:54 AM