ORANG ramai beratur untuk membeli minyak dengan harga lama.
ORANG ramai beratur untuk membeli minyak dengan harga lama.
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Lebih 2,000 pengunjung membanjiri pekarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di Ayer Keroh bagi mendapatkan bekalan minyak masak pada harga diskaun ditawarkan bersempena program My Best Buy, semalam.

Orang ramai mula menunggu sejak 8.30 pagi untuk mendapatkan bekalan minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) dijual pada harga RM13.20.

Pengunjung Mohamad Refiq Mohd Tahir, 35, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak di negeri ini sejak dua minggu lalu menyebabkan orang ramai tidak kisah beratur panjang walaupun ada yang terpaksa menunggu selama satu jam.

“Kepenatan beratur menunggu giliran berbaloi walaupun hanya dapat membeli sebotol minyak masak sebagaimana disyaratkan oleh FAMA kepada pengunjung datang hari ini (semalam).

“Saya memang kerap ke program jualan My Best buy sebelum ini, pada kebiasaannya dalam masa satu jam sudah selesai membeli barangan keperluan, tetapi hari ini (semalam) kena tunggu sampai dua jam berikutan peningkatan pengunjung yang mendadak,” katanya.

Dia ditemani abang Mohd Taib, 37, berkata, penawaran minyak masak pada harga diskaun itu mula viral di media sosial sejak tiga hari lalu menyebabkan pengguna sekitar negeri ini tidak melepaskan peluang keemasan itu.

Katanya, dua pasar raya beroperasi di negeri ini turut mengambil bahagian dalam jualan itu dengan menawarkan minyak masak dalam botol pada harga serendah RM20.90 berbanding RM21 bagi harga pasaran biasa.

Secara keseluruhan program jualan disertai 20 peserta agrotani dan industri kecil dan sederhana itu menawarkan peluang kepada 1,500 pengunjung membeli minyak masak pada harga diskaun.

Eksekutif Operasi Rintiz Rezky (M) Sdn Bhd Norazrin Abas berkata, sambutan luar jangkaan menyebabkan 400 botol minyak masak habis dijual dalam masa kurang dua jam.

“Pengunjung beratur panjang untuk membeli minyak masak lima kilogram dalam botol seawal jam 9.30 pagi walaupun waktu urus niaga rasmi belum bermula.

“Kami kehabisan stok minyak masak dalam botol pada jam 11 pagi. Bekalan minyak masak dijual pada harga rendah itu adalah lebihan stok Oktober dan harga ditawarkan mengikut nasihat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya.

Limpahan rezeki turut dikongsikan bersama seorang agroprenuer bimbingan FAMA, Mohd Hairol Ariffin Mohamad, 35, apabila telur ayamnya sebanyak 550 papan habis terjual dalam masa sejam sahaja.

“Bekalan telur ayam gred A,B, C dan D dijual pada harga RM5 sehingga RM8.80 sepapan mendapat permintaan luar biasa menyebabkan saya kehabisan stok sebelum program itu berakhir pada jam 6 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:29 AM