ANGGOTA KPDNKK merampas kasut tiruan berjenama di premis perniagaan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Diskaun harga runtuh. Itu antara taktik digunakan pakai peniaga kasut jenama terkenal cetak rompak yang menjual dua pasang kasut pada harga hanya RM70.

Kedua-dua premis terletak di sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi, Bukit Bintang, di sini, bagaimanapun diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, seramai 18 anggota KPDNKK termasuk pegawai penguat kuasa dikerahkan untuk melakukan pemeriksaan selepas risikan dilakukan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati pemilik premis mengaut keuntungan lumayan dengan menjual kasut tiruan.

“Semua premis dikesan menawarkan promosi harga murah bagi memperdayakan pelanggan dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke pusat beli-belah itu.

“Serbuan bermula jam 12 tengah hari itu, pihak KPDNKK merampas 3,154 pasang kasut termasuk stoking berjenama tiruan yang dianggarkan bernilai RM87,216,” katanya.

Beliau berkata, pihak mendapati lapan premis menjual kasut tiruan di pusat beli-belah berkenaan membabitkan jenama Adidas, Nike, Puma, Converse dan New Balance.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lima daripada premis itu dimiliki oleh seorang lelaki tempatan, manakala tiga premis milik seorang lelaki warga Bangladesh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 9:07 AM