Bung Moktar
Syah Rul Aswari Abdullah

Kota Kinabalu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu meneliti semula operasinya susulan insiden terbaru membabitkan dua nelayan warga Indonesia diculik kumpulan bersenjata di perairan berhampiran Kinabatangan, kelmarin.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini memandangkan kejadian penculikan terus menjadi-jadi meskipun jaminan diberikan pihak berkuasa dalam menangani jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan setiap tahun, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan besar kepada ESSCOM.

“Saya melihat (insiden) itu serius dan saya bangkitkan perkara itu di Parlimen. ESSCOM perlu menumpukan secara serius isu keselamatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan 50 Tahun FELCRA Peringkat Wilayah Sabah, di sini, semalam.

Bung Moktar juga mempersoalkan sama ada orang dalam terbabit dalam insiden berkenaan kerana kumpulan penculik boleh menceroboh perairan negara dan melakukan jenayah tanpa dapat dikesan.

Beliau berkata, kumpulan terbabit seperti mengetahui masa sesuai untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Insiden seperti ini menyebabkan penduduk di pesisir pantai menjadi takut, terutama komuniti nelayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 9:27 AM