KEADAAN kereta yang dipandu Mohamad Naiman selepas terbabit nahas tiga kenderaan.
myMetro

Gua Musang: Seorang maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa, Mohamad Naiman Jaafar, 24, yang memandu kereta Proton Wira, maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) akibat parah di kepala dan badan.

Dua penumpang kereta Proton Wira, Wan Irwan Wan Rashidi, 18, dan Muhamah Amirul Fahmi, 20, mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di hospital sama.

Lima mangsa mengalami kecederaan ringan adalah penumpang kereta Proton Wira iaitu Muhammad Midiladha Mohd Nasir, 23, pemandu kereta Honda Accord, Roslina Mustapa, 46, pemandu Mercedes, Muhammad Zain Abdul, 31, penumpangnya, Nur Lina Che Ismail, 34 dan Siti Aishah Abdullah, 33.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, semua mangsa dihantar ke HGM untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 9:59 AM