ANGGOTA penguatkuasa DBKL menyita barang niaga milik warga asing.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Lagak samseng dan tidak pernah serik. Itu gelagat peniaga haram warga asing yang masih terus ‘menjajah’ kawasan pasar harian dan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang di sini,

Walaupun berpuluh kali serbuan dilakukan pihak berkuasa namun puluhan peniaga haram ini terus menjalankan perniagaan di lokasi sama setiap hari.

Dalam serbuan terbaru kelmarin, sebanyak 28 gerai milik peniaga haram ini disita sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan operasi pengejut di pasar itu.

Operasi bermula jam 4 petang itu diketuai Ketua Inspektor Penguatkuasa T. Rama Krishnan bersama 16 anggota dari jabatan berkenaan.

T. Rama berkata, peniaga haram kebanyakannya warga Myanmar dan Bangladesh bertempiaran melarikan diri selepas menyedari pasar haram mereka itu diserbu pihak berkuasa.

“Sudah berulang kali perniagaan mereka diserbu, malah pihak kami sebelum ini turut menempatkan bilik gerakan DBKL di kawasan berkenaan bagi mengekang masalah itu namun mereka bagaikan tidak serik,” katanya.

Menurutnya, ada antara peniaga seolah-olah samseng kawasan apabila tidak gerun dengan tindakan diambil DBKL.

“Bukan itu saja, kami turut menghantar pasukan penguatkuasa secara berkala membabitkan pegawai dan anggota untuk memeriksa lokasi berkenaan,” katanya.

Katanya, serbuan mengejut itu dilakukan selepas menyedari sikap warga asing itu yang seolah-olah mencabar penguatkuasa dan tidak menghiraukan kehadiran anggota DBKL di kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di kedua-dua lokasi terbabit mendapati, pelanggan peniaga haram warga asing itu bukan saja di kalangan warga tempatan malah turut dikunjungi pemilik gerai makanan sekitar Kuala Lumpur dan Selayang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 9:10 AM