MICHAEL (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul dua penuntut wanita di sebuah kondominium di Bandar Sungai Long.
MICHAEL (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul dua penuntut wanita di sebuah kondominium di Bandar Sungai Long.
myMetro

Kajang: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dua tuduhan mencabul dua penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi di sebuah kondominium di Bandar Sungai Long, awal bulan lalu.

Tertuduh, A Michael, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencabul kehormatan wanita berusia 22 tahun manakala mengikut pertuduhan kedua, dia cuba melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi rakan mangsa berusia 20 tahun.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di hadapan di C5-G-4, Cypress Kondominium di Bandar Sungai Long, jam 3.30 petang, 1 November lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Jerald Gomez memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang munasabah dengan RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan selain anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 9:16 AM