Anggota bomba melakukan operasi mencari mangsa di kawasan hutan Gunung Semangkuk, Bukit Fraser.
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Seorang lelaki Orang Asli berusia 63 tahun dilaporkan hilang ketika mencari petai di kawasan hutan Gunung Semangkuk, Bukit Fraser di sini, sejak Selasa lalu.

Mangsa, Alan Aloh dari Kampung Orang Asli Jalan Kolam Air dekat sini, menunggang motosikal dan meletakkannya di tepi jalan sebelum masuk ke hutan itu dan tidak pulang hingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kehilangan mangsa, jam 11.58 pagi kelmarin sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi yang masuk hari kedua hari ini (semalam) meliputi kawasan pencarian di sekitar kaki Gunung Semangkuk, pada radius 1.5 kilometer. Bagaimanapun, kami belum menemui sebarang petunjuk mengenai kehadiran mangsa.

“Operasi ditangguhkan jam 6 petang hari ini kerana hujan lebat dan akan disambung semula jam 9 pagi esok (hari ini),” katanya.

Beliau berkata, SAR semalam membabitkan 43 anggota dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan penyelamat selain malim gunung.

Menurutnya, operasi SAR dibahagikan kepada empat kumpulan dengan sektor pencarian menuju ke arah Sungai Sanglai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:18 AM