KEADAAN kenderaan yang rosak akibat kebakaran, semalam.
KEADAAN kenderaan yang rosak akibat kebakaran, semalam.

Johor Bahru: Dua kenderaan milik ahli perniagaan yang juga Setiausaha MIC Bahagian Tebrau yang di parkir di depan kediamannya di Jalan Lembah 21, Taman Desa Jaya di sini, rosak akibat terbakar dipercayai angkara khianat, semalam.

Kejadian disedari S Mahendra, 49, pada jam 2.30 pagi. Kebakaran menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson dan Toyota Vios berkenaan musnah.

“Saya terdengar bunyi mencurigakan dari luar rumah dan menyangka ada perompak. Saya membuka pintu rumah dan terkejut mendapati Hyundai Tucson terbakar,” katanya.

Menceritakan kejadian, Mahendra berkata, dia bersama isteri serta dua anak tidur dalam bilik masing-masing sebelum tersedar bunyi mencurigakan itu.

“Ada jiran cuba menghubungi telefon bimbit saya selepas menyedari kebakaran, selain ada yang memanggil saya dari belakang rumah, namun saya tidak menyedarinya.

“Selepas mendapati Hyundai Tucson terbakar, kami terus keluar dari rumah,” katanya yang tinggal di kediaman berkenaan sejak 25 tahun lalu.

Mahendra berkata, dia tidak mengesyaki mana-mana pihak kerana mempunyai hubungan baik dalam perniagaan serta politik.

“Saya tidak menerima sebarang ugutan sejak dilantik sebagai Setiausaha MIC Bahagian Tebrau, September lalu. Kejadian menyebabkan saya kerugian lebih RM200,000.

“Saya bersyukur kami empat beranak terselamat. Bagaimanapun, saya tetap bimbang keselamatan keluarga. Saya harap pihak berkuasa dapat menyelesaikan siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya menyiasat sama ada ia mempunyai unsur jenayah atau berkaitan masalah teknikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 6:51 AM