NOR Azam (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Kamarudin sambil diperhatikan Abdul Fattah (tengah), semalam.
Asrizal Aris


Petaling Jaya: Jana elektrik sambil bertani di ladang solar. Itu teknologi yang diperkenalkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam usaha mengurangkan kos sara hidup masyarakat negara ini.

Ladang solar adalah projek pengeluaran elektrik sehingga 1,000 kilowatt (kW) dalam aktiviti pembangunan pertanian yang akan dibina di Sungai Tiang, Pendang pada pertengahan Disember ini sebagai permulaan projek.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, projek itu juga mendapat persetujuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membeli tenaga dan kuasa yang dijana daripada ladang solar.

“Projek penjanaan elektrik ini dipasang tiga meter tinggi di mana di bawahnya kita boleh menjalankan pembangunan pertanian. Usaha ini boleh menjadikan ladang solar sebagai lokasi pelancongan juga sebagai menambah pendapatan.

“Projek ini mampu memberi pulangan pendapatan kasar minimum RM100,000 sebulan atau RM25 juta sepanjang tempoh kontrak pembelian tenaga daripada TNB iaitu 21 tahun,” katanya selepas majlis tandatangan perjanjian kontrak antara MyAngkasa Services Sdn Bhd (MSSB) dan Smart SL Technology Sdn Bhd (SLT) di Dewan Serbaguna Angkasa, di sini, semalam.

Menurutnya, MSSB melantik SLT dan sebuah syarikat kontraktor dari China, Linuo Power untuk melaksanakan projek berkenaan yang menelan kos pembinaan dan pembangunan sebanyak RM9.7 juta.

“Keluasan tapak pembinaan ladang kuasa solar yang akan dibina pertengahan Disember ini 3.5 ekar (lebih satu hektar) yang boleh menjana sehingga satu megawatt (MW) tenaga elektrik.

“Majlis tandatangan hari ini (semalam) adalah perjanjian lantikan kontraktor yang akan memulakan pembinaan projek yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan iaitu pada penghujung Mac 2017,” katanya.

Menurut Abdul Fattah, pihaknya turut berunding dengan kementerian pendidikan untuk memperkenalkan sistem penjanaan tenaga solar di sekolah seluruh negara.

Katanya, usaha itu sekali gus menyahut cabaran kerajaan untuk memperkasakan program mysolar yang menyasarkan 1,600 rumah menggunakan tenaga solar.

Turut hadir, Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SLT, Nor Azam Hamisan, Pengarah Perniagaan Antarabangsa Linuo Power, Li Juan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 7:13 AM