WAN Mohd Nor  (tengah) pada Forum Pemerkasaan Integriti Zon Selatan di Seremban, semalam.
WAN Mohd Nor (tengah) pada Forum Pemerkasaan Integriti Zon Selatan di Seremban, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Seramai 23 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibuang kerja kerana terbabit dalam pelbagai masalah tatatertib termasuk tidak hadir bekerja, tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, jumlah itu adalah antara 76 anggota dikenakan tindakan tatatertib kerana ketidakhadiran tugas, penyalahgunaan dadah dan kes mahkamah, sejak Januari hingga 15 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu berkurangan berbanding tempoh tiga tahun sebelumnya iaitu seramai 41 anggota dibuang kerja pada 2013, 33 anggota (2014) dan 32 anggota (2015).

Menurutnya, pihaknya mengambil langkah pencegahan bagi mengelak lebih ramai anggota terbabit dengan masalah disiplin kerana boleh memberi kesan buruk kepada jabatan.

“Kita menekankan kepada aspek mengenal pasti ruang berlaku kebocoran integriti dan menutup ruang itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih telus. Melalui cara itu, kita dapat mengurangkan peluang berlaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Integriti bukan saja berkaitan dengan rasuah tetapi berkait dengan kecekapan bekerja, penggunaan masa dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas Forum Pemerkasaan Integriti Zon Selatan, di sini, semalam.

Program anjuran JBPM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) itu dirasmikan Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaluddin Said.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan Norazam Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:17 AM