Kanak-kanak gembira disirami air menggunakan paip bomba pada Program Sunathon Perdana 2016 di Masjid Putra, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kepercayaan karut seperti terkena ilmu hitam atau sihir tidak boleh dijadikan amalan sehingga mengetepikan kaedah perubatan moden, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat perlu mengetahui dan menghayati ilmu perubatan moden bagi membolehkan sesuatu penyakit dapat diubati atau dicegah dari peringkat awal.

Berkongsi pengalaman ketika merasmikan sebuah pusat autisme beberapa bulan lalu, Najib berkata, beliau bertanya pengarah pusat berkenaan berapa ramai kanak-kanak autisme dari kalangan keluarga berpendapatan rendah menggunakan perkhidmatan disediakan kerajaan itu.

“Pengarah memaklumkan tidak ramai seperti diharapkan kerana sebahagian besar daripada ibu bapa berfikir penyakit dialami anak mereka itu kerana terkena buatan orang.

“Maknanya kepercayaan ilmu hitam dan sihir mengatasi keperluan (untuk anak mereka) melalui proses rawatan dan kesihatan secara moden,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sunathon Perdana 2016 di Masjid Putra, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Dewan Undangan Pulau Manis, Pekan, Pahang Datuk Khairuddin Mahmud.

Program secara percuma itu disertai 1,250 kanak-kanak dan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Pusat Khidmat Masyarakat Putrajaya dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM).

Turut serta dalam program itu anak yatim, asnaf dan 60 kanak-kanak dari Pulau Manis, Pekan yang dibawa khas ke program ini.

Sementara itu, Najib berkata, program Sunathon Perdana satu pendekatan terbaik apabila pihak swasta seperti PERDIM memberikan khidmat percuma membantu golongan memerlukan.

“Saya anggap usaha sama antara kerajaan dan doktor swasta satu lagi kaedah baik kerana sistem mengawal atau memberi perkhidmatan kesihatan sebaik mungkin tidak mampu ditanggung kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 8:58 AM