Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dianggarkan membabitkan kos RM55 bilion tidak terlalu mahal, sebaliknya anggaran itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan setiap projek mempunyai keunikannya tersendiri terutama dari segi topografi kawasan laluannya.

“Tidak betul (projek terlalu mahal). Kalau kita terpaksa buat terowong umpamanya, melalui kawasan paya dan sebagainya, tentu sekali kita memerlukan kos tambahan.

“Namun, sebagai sebuah kerajaan kita akan membuat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain.

“Kita juga akan buat pengurusan nilai dan memastikan harga projek nanti adalah harga boleh dipertahankan, dan akan dapat nilai kepada wang,” katanya pada Sesi Soal Jawab Media bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Pembinaan landasan kereta api sepanjang 688 kilometer (km) itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Terminal Bersepadu Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat, Kelantan diumum pada pembentangan Bajet 2017, 21 Oktober lalu.

Najib berkata, jika dilihat secara keseluruhannya termasuk pembiayaan diberikan Exim Bank China dengan terma yang cukup menarik, ECRL adalah satu projek yang boleh merangsangkan ekonomi negara.

Katanya, mengikut perkiraan pertumbuhan ekonomi di kawasan pantai timur akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.5 peratus di tiga negeri terbabit menerusi pelaksanaan projek ini.

Lebih menarik, katanya, projek itu juga dilihat dapat merangsang lebih banyak kegiatan ekonomi memandangkan ia turut dihubungkan dengan Pelabuhan Klang.

Malah, Najib berkata, projek ini juga mampu merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara pantai timur dan pantai barat.

“Kita juga memerlukan sambungan sebab jika tiada sambungan, kita tidak boleh membuka kawasan seperti di pantai barat ini, (pada masa sama) kawasan pantai barat memerlukan suntikan, kalau tidak akan berlaku jurang.

“Kadar pertumbuhan pantai barat akan lebih tinggi dari pantai timur... jadi kita hendak mengimbanginya dan ini satu daripada projek besar yang boleh merapatkan jurang antara pantai barat dan timur,” katanya.

Menyentuh mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355, Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355, Najib berkata, orang bukan Islam perlu memahami rang undang-undang ini bukan hudud.

Tetapi, beliau menjelaskan, ia bertujuan menaikkan kuasa kepada Mahkamah Syariah dan ia langsung tidak kena mengena dengan orang bukan Islam.

“Kita sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN), kita akan berundinglah, akan datang kita akan berunding dengan komponen BN, supaya mereka faham apa sebenarnya tujuan rang undang-undang pindaan itu,” katanya.

Mengenai nilai mata wang negara, katanya, kedudukan mata wang negara berada di pertengahan dan tidak turun dengan ketara, kecuali berbanding dolar Amerika.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat diharap tidak keliru dengan keadaan ini, kerana situasi itu disebabkan kesan luaran yang berada di luar kawalan.

“Pagi tadi (semalam) saya berbincang dengan Gabenor Bank Negara. Saya tengok cartanya, ada mata wang lain yang prestasinya lebih buruk daripada ringgit, ada yang lebih baik, kita (Malaysia) duduk di tengah-tengah.

“Kalau kita tengok ‘basket of currency’ (bakul mata wang), kita tidak menurun sangat, cuma dengan dolar Amerika, ini adalah kerana kesan luaran yang luar daripada kawalan kita.

“Jadi saya harap rakyat jangan terkeliru, apa yang kerajaan akan lakukan adalah mengawal faktor yang boleh dikawal dan mencari peluang pelaburan, sebab itu umpamanya, saya pergi ke Jerman, China dan Jepun, untuk apa? Untuk membawa balik pelaburan ke Malaysia dan inilah usaha yang boleh dan mampu kita lakukan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan juga sudah melaksanakan banyak inisiatif untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat termasuk menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200 dan projek perumahan mampu milik.

Selain itu, katanya kerajaan juga mengekalkan subsidi dalam bidang kesihatan, pendidikan, rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik Rakyat 1Malaysia.

“Kalau kita lihat dari segi kadar inflasi, ia dalam dua peratus sahaja. Jadi kalau kita lihat paras harga jika naik dua peratus, tidak sepatutnya soal kos sara hidup ini menjadi suatu isu yang besar.

“Sebaliknya saya sedar ia menjadi sesuatu dalam minda rakyat, boleh dikatakan secara menyeluruh. Oleh itu, kita perlu tangani ini dengan beberapa langkah serta program yang sudah dan akan kita lakukan.

“BRIM umpamanya sudah dinaikkan kepada RM1,200, ini akan membantu rakyat sekurang-kurangnya untuk memperoleh barang keperluan asas mereka dan itu sesuatu yang kita kena ambil kira, banyak yang sudah kita lakukan sebenarnya untuk menangani soal kos sara hidup ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:37 AM