Nur Hakim menunjukkan nasi lemak yang dipasarkan melalui media sosial.
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


Segamat: “Jual nasi lemak pun perlu ada strategi pemasaran dan jika tidak, pasti tidak bertahan lama dan syukur selepas menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran, saya kini tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan,” kata peniaga Nasi Lemak Pak Wan Muhammad Nur Hakim Ramlan, 24.

Menurutnya, idea melakukan pemasaran melalui media sosial timbul apabila perniagaannya kurang mendapat sambutan pada peringkat awal selepas dua bulan beroperasi di warung burger milik rakannya di Taman Yayasan, Buloh Kasap, di sini.

Katanya, pernah dalam sehari hanya sebungkus nasi lemak dijual menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mengubah strategi jualannya.

Muhammad Nur Hakim berkata, selepas menggunakan media sosial seperti WhatsApp dan Facebook, dia memperkenalkan khidmat penghantaran nasi lemak bersama sambal tumis bilis serta ayam goreng berempah resipi rahsia disediakan ibunya, Fazilah Hashim, 53, manakala nasi lemak pula dimasak bapanya, Ramlan Daud, 60.

“Selepas membuat promosi menggunakan media sosial itu, jualan nasi lemak saya meningkat mendadak dan syukur kini walaupun tidak menang tangan menerima tempahan namun tidak pernah mengecewakan pelanggan.

“Penghantaran dibuat terus kepada pelanggan mulai jam 1 tengah hari hingga 10 malam dan saya membuat penghantaran di sekitar Segamat bermula dari kebun kelapa sawit hingga ke pejabat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, Nasi Lemak Pak Wan dibungkus menggunakan kertas dan daun pisang bersama sambal tumis ikan bilis, telur rebus, timun dan kacang tanah dijual dengan harga RM1.50 sebungkus manakala nasi lemak berlauk ayam goreng berempah dijual RM2.

Katanya, pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan dia menerima tempahan kira-kira 200 bungkus sehari menyebabkan dia perlu bijak merancang perjalanan bagi menghantar pesanan menggunakan Proton Saga miliknya di sekitar Buloh Kasap, bandar Segamat, Jalan Muar, Batu Anam, Jementah dan Bandar Putra.

“Saya perlu meneliti pesanan dibuat supaya tidak membazir masa dan petrol berulang-alik dua tiga kali ke lokasi sama selain memastikan setiap pesanan sampai kepada pelanggan tepat pada waktu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 10:24 AM