DUA anggota KPDNKK memeriksa produk  tiruan jenama BSY di sebuah premis yang diserbu.
DUA anggota KPDNKK memeriksa produk tiruan jenama BSY di sebuah premis yang diserbu.

Kuala Lumpur: Bukan hanya menghitamkan, tapi berisiko menyebabkan keguguran rambut secara kekal. Itu risiko dihadapi pengguna set produk penjagaan rambut tiruan yang didakwa diimport dari luar negara.

Penjualan produk tiruan itu terbongkar selepas premis di Lorong Haji Taib, di sini, diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 pagi itu, set produk penjagaan rambut tiruan jenama BSY dirampas selepas diperiksa wakil pemilik cap dagang yang sah.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, produk kosmetik tiruan itu dikhuatiri mengandungi bahan terlarang dan boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Dalam operasi ini kami merampas 62 kotak produk yang dianggarkan bernilai RM1,550 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kami juga akan mengambil keterangan daripada pemilik dan pekerja premis ini untuk mengenal pasti pembekal,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:27 AM