ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Alor Setar.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal curi dengan menukar nombor pendaftaran asal mengundang padah apabila dia ditahan dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, semalam.

Motosikal itu didaftarkan nombor pendaftaran Johor namun lelaki berusia 20 tahun itu menukarnya kepada nombor pendaftaran negeri ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, bagaimanapun tindakan itu tidak berhasil apabila pemeriksaan polis ke atas motosikal itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek terus ditahan manakala motosikalnya disita mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada suspek membeli daripada orang lain motosikal itu atau sebaliknya.

“Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut ditahan kerana memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mereka antara 150 penunggang motosikal berusia 15 hingga 30 tahun yang diperiksa dalam operasi itu membabitkan kekuatan seorang pegawai dan 28 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Setar bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kota Setar,” katanya.

Mohd Rozi berkata, pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan memandu laju, tiada lesen, tiada insurans cukai jalan, bawah umur, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat, memandu berbahaya, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mengubah suai motosikal.

“Sebanyak 110 kesalahan dilakukan dan 99 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dengan 22 motosikal disita.

“Kita turut memeriksa 17 kereta dan mengeluarkan 25 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis akan terus menjalankan operasi sama setiap hari sehingga masyarakat sedar bahaya merempit khususnya dalam kalangan remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:35 AM