KAD debit boleh digunakan untuk membuat pembayaran zakat melalui mesin ‘Cashless ATM’.
KAD debit boleh digunakan untuk membuat pembayaran zakat melalui mesin ‘Cashless ATM’.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan saluran pembayaran menerusi mesin pembayaran automatik atau ‘Cashless ATM’ di beberapa cawangannya di negeri ini bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, inovasi terbabit adalah hasil kerjasama dengan Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB) bagi membolehkan orang ramai membuat pembayaran bagi semua jenis zakat menggunakan kemudahan terbaru itu.

Menurutnya, pengeluar zakat hanya perlu membuat pindahan wang menggunakan kad debit dari mana-mana bank dan melakukan transaksi di ‘Cashless ATM’ yang disediakan di empat cawangan LZS iaitu di Shah Alam, Kajang, Bangi dan Seksyen 14 Petaling Jaya.

“Perkhidmatan ini percuma tanpa membabitkan sebarang caj tambahan untuk urus niaga yang dilakukan.

“Pembayaran secara digital ini dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan cara pembayaran zakat di mana pengeluar zakat tidak perlu beratur untuk berurusan di kaunter dan mulai tahun depan, kemudahan ini akan diletakkan di cawangan lain,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Agihan Zakat LZS, di sini, semalam.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, LZS menerima pembayaran zakat perniagaan daripada 40 syarikat dengan jumlah keseluruhan RM5.78 juta.

SIRIM Berhad mendahului senarai syarikat dengan menyerahkan zakat berjumlah RM2.32 juta diikuti Kumpulan Semesta Sdn Bhd RM703,413 serta beberapa syarikat lain termasuk Triplc Ventures Sdn Bhd, Unitar Capital Sdn Bhd dan SME Bank.

Dalam pada itu, LZS turut mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM112,099 kepada tiga asnaf fakir dan miskin bagi tujuan membaik pulih rumah dan membiayai kos rawatan dialisis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 8:44 AM