DARI kiri, Muhamad Hairul dan Othman diiringi anggota polis di pekarangan mahkamah.
myMetro

Melaka: Dua lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman denda RM1,500 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis berpangkat koperal, November lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Othman Abdul Rashid, 41, dan Muhamad Hairul Hamdan, 38, selepas mereka mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua mereka didakwa secara bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Hazim Hassan, 36, dalam kejadian di tempat letak kenderaan di belakang sebuah hotel di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 7.30 malam, 19 November lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syazreen Nadia Saaban memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, Othman dan Muhamad Hairul yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan masing-masing mempunyai tanggungan dan anak masih kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 9:36 AM