HARGA getah skrap lebih rendah diambil kilang.

Johor Bahru: Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Melayu (PKPKM) Negeri Johor menyelar tindakan peraih getah beku dan pekilang yang disifatkan mementingkan diri apabila membeli komoditi itu lebih rendah daripada harga pasaran.

Pengerusinya Roslan Md Nor berkata, pihaknya menerima aduan daripada ahli persatuan yang mendakwa peraih membeli komoditi itu dengan harga berbeza mengikut tempat dan disifatkan sebagai mengambil kesempatan terhadap ahlinya.

“Peraih yang sama membeli getah beku dengan harga berbeza mengikut kawasan, ada yang serendah RM3 hingga RM4 meskipun harga pasaran mencecah RM4.50 sekilogram.

“Sepatutnya peraih membeli harga yang sama daripada semua pekebun dan bukannya berbeza.

“Apa yang menyebabkan kita tidak berpuas hati adalah tiada resit rasmi dikeluarkan melainkan sekadar kertas seperti memo yang diberikan sebagai resit jualan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pengusaha kilang atau peraih yang bermain harga dengan berpakat membeli getah beku pada harga rendah.

Roslan berkata, pihaknya mempunyai 15,000 ahli persatuan di seluruh negeri ini yang sebahagiannya mengalami keadaan sama apabila urusniaga telus tidak dapat dijalankan.

“Saya mencadangkan pihak berkuasa memantau perkara ini dan sekurang-kurangnya membekalkan maklumat harga pasaran getah semasa pada setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 8:02 AM