Skip this ad x
ZAINAB mampu memasak selain menjaga suaminya, Saudin yang lumpuh di Bagan Belat, Tasek Gelugor.

Tasek Gelugor: Demi cinta sejati, seorang isteri yang buta sanggup menjaga dan menguruskan suaminya yang lumpuh sehingga akhir hayat walaupun dia sendiri serba kekurangan.

Pasangan itu, Saudin Omar, 72, dan Zainab Wan Chik, 68, dari Bagan Belat, Teluk Air Tawar, dekat sini, buta sejak kecil dan berkahwin 17 tahun lalu selepas bertemu ketika masing-masing menjual kacang.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat mencari rezeki sejak beberapa tahun lalu berikutan Saudin lumpuh selepas diserang angin ahmar menakala Zainab pula menguruskan keperluan suaminya termasuk memakaikan lampin walaupun dia sendiri buta.

Pasangan berkenaan yang tidak dikurniakan cahaya mata bergantung pada Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan bantuan Zakat Pulau Pinang RM400 sebulan.

Menurut Zainab, selain menguruskan keperluan suaminya, dia turut memasak serta membasuh pakaian seperti manusia normal lain.

“Saya yang memandikan suami serta membantunya memakai lampin dan jika dia buang air besar pun, saya yang basuh.

“Walaupun sudah tua tetapi dia minum menggunakan botol susu seperti bayi dan saya akan menjaganya sehingga akhir hayat kerana tiada siapa lagi yang boleh menjaganya,” katanya.

Zainab berkata demikian selepas menerima kunjungan seorang dermawan, Mohd Razi Halib, 45, pegawai JKM serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Permatang Kucing Mohd Ulul Azmi Idris di rumahnya, semalam.

Mohd Razi menyumbang tilam angin bagi membolehkan Saudin tidur dalam keadaan selesa.

Zainab berkata, dia bernasib baik kerana mendapat sumbangan lampin dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan berjimat menggunakan wang bantuan bagi membeli barang keperluan.

“Saya sendiri keluar membeli barang keperluan untuk dimasak dan kadangkala meminta bantuan anak saudara suami untuk ke pekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:12 AM