NOORSHIAH menjirus air di pusara Allahyarham Kamarul Efindi di Tanah Perkuburan Pantai Dalam, malam tadi.
NOORSHIAH menjirus air di pusara Allahyarham Kamarul Efindi di Tanah Perkuburan Pantai Dalam, malam tadi.

Kuala Lumpur: Penyunting Eksekutif Harian Metro, Kamarul Efindi Badarudin meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), di sini, jam 5.12 petang semalam.

Allahyarham meninggal dunia dalam usia 40 tahun akibat menghidap kanser kelenjar sejak dua tahun lalu.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi ayahnya Badarudin Said, 68, dan ibu, Noorshiah Ghazali, 61.

Turut bersama di sisi arwah ialah bekas isterinya, Zuleeyana Adam, 38, dan dua anaknya iaitu Arfan Mukhriz, 7, dan Aliff Iskandar, 12, selain tiga adiknya Azrul Khairi, 36, Mohd Faizal, 30, dan Amirul, 25.

Menurut Badarudin, anak sulung daripada empat beradik itu seorang yang kuat semangat untuk melawan kanser, selain sentiasa ceria serta rajin bekerja dari dulu lagi.

“Selain itu, dia rapat dengan adik-adiknya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, arwah yang dilahirkan di Baling, Kedah bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Baling sebelum ke Sekolah Menengah Syed Abu Bakar, Kupang.

“Allahyarham yang saya lebih mesra memanggilnya Andi meminati bidang kewartawanan dan pernah belajar di Akademi TV3,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Dalam, di sini, malam tadi.

Kamarul Efindi menyertai Harian Metro pada Januari 1997, pernah bertugas di Biro Harian Metro Johor Bahru, Meja Jenayah, Meja Bisnes dan memegang jawatan Penyunting Eksekutif sebelum disahkan menghidap kanser kira-kira dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:57 AM
Digital NSTP Subscribe