ANTARA barang milik suspek kes pecah tabung surau di Puncak Alam, Sungai Buloh pada 26 Disember lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Kegiatan seorang lelaki menggunakan mesin pencanai untuk memotong mangga tabung sebuah surau di Puncak Alam, di sini, 16 Disember lalu terbongkar selepas wajahnya sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Kejadian jam 8.30 pagi itu disedari oleh seorang ahli jawatankuasa surau berkenaan ketika memeriksa keadaan dalam surau sebelum mendapati tabung besi yang diletakkan di tiang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, lelaki itu kemudian memeriksa rakaman CCTV yang dipasang dalam surau berkenaan.

“Pemeriksaan itu mendapati seorang lelaki masuk ke dalam surau dengan memegang gergaji besi dan cuba memotong kunci mangga pada peti besi berkenaan.

“Suspek turut menceroboh sebuah bilik di surau berkenaan untuk mencari sesuatu. Beberapa minit kemudian, suspek keluar dari surau dan masuk semula dengan membawa mesin pencanai untuk memotong mangga,” katanya.

Sebaik memotong mangga berkenaan, suspek mengeluarkan sejumlah wang tunai dianggarkan RM400 dari tabung berkenaan.

Rakaman CCTV berdurasi dua minit menunjukkan lelaki itu menggunakan mesin pencanai kini menjadi tular di laman sosial sejak minggu lalu.

Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, polis menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 32 tahun di kediaman mereka di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, kelmarin pada jam 11 malam bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan keterangan suspek, mereka mengaku menggunakan wang hasil curi tabung surau bagi menampung perbelanjaan harian.

“Malah, suspek mengaku pernah melakukan kegiatan sama di beberapa lokasi membabitkan tujuh kes di Shah Alam, Gombak serta Rawang, Selangor dan Melaka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:59 AM