DR Zulhazman menunjukkan bunga rafflesia yang ditemui di Tanah Tinggi Lojing.
Muhamaad Razis Ismail dan Ramli Ibrahim

Kota Bharu: Bersifat parasit dan berbau seperti bangkai namun rafflesia adalah bunga indah yang disayangi pencinta alam di seluruh dunia kerana spesiesnya yang tidak banyak ditemui.

Bunga terbesar yang hanya melata di hutan hujan empat negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina itu juga dilindungi kerana kemampuan hidupnya hanya di tanah tinggi dan hutan tebal.

Sejak penemuan pertama spesies rafflesia atau turut dikenali bunga pakma sekitar 1816 di Bengkulu, Sumatera, menyusul beberapa penemuan lanjut bunga itu yang menjadikannya satu cabang pelancongan ekonegara asalnya.

Di Malaysia, selain Hutan Simpan Belum di Perak dan Gunung Kinabalu, Sabah yang popular sebagai destinasi penempatan liar rafflesia, Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang (Lojing) di Kelantan juga menjadi rumah buat bunga itu yang tidak ramai mengetahuinya.

Tidak tahu di mana silapnya ketika itu apabila penempatan rafflesia di Lojing lebih disedari peneroka hutan yang membuka tanah untuk tujuan pertanian dan pengkaji dari universiti awam tempatan.

Apabila kerajaan negeri mula mewartakan kawasan seluas 404 hektar itu sebagai kawasan perlindungan rafflesia di Lojing pada April 2010, ramai pengendali industri pelancongan melihat prospek cerah tumbuhan itu.

Mereka mula memperkenalkan pakej pelancongan eko di Lojing dengan menjejak rafflesia sebagai tarikan utama. Ramai pelancong yang cergas mengikuti ekspedisi begitu kerana bunga terbesar berkenaan bukan boleh ditemui dengan mudah di merata-rata tempat.

Sehingga kini, pakej begitu masih aktif namun sayangnya,
ia sudah semakin kurang menjadi pilihan disebabkan pengurangan bunganya untuk ditonton pelancong.

Menurut Ketua Jabatan Sumber Asli dan Sains Kelestarian Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Zulhazman Hamzah, kajian merekodkan penempatan rafflesia lebih besar di Lojing berbanding di Sabah.

“Namun aktiviti penerokaan yang aktif di sekitar lokasi bunga ini mengganggu pertumbuhan rafflesia dan kini kajian menunjukkan pertumbuhan bunga menyusut 30 peratus.

“Sedangkan spesies rafflesia di Lojing adalah kerrii iaitu spesies kedua terbesar di dunia selepas rafflesia arlnoldi yang terdapat di Indonesia.

“Di Malaysia, spesies ini banyak di Lojing terutama di Kampung Jedip dekat Pos Brooke. Kajian ilmiah dan ekspedisi selama tiga minggu dijalankan bersama beberapa universiti dan agensi pada 2008 menemui 26 kawasan populasi rafflesia di situ.

“Hasil daripada itulah kita buat kertas cadangan dan memohon kerajaan negeri mewartakan kawasan hutan yang menjadi habitat rafflesia sebagai kawasan dilindungi.

“Malangnya, kini habitat itu terancam disebabkan penerokaan hutan untuk pembukaan kebun sayur yang tidak terancang,”katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Zulhazman berkata, sifat rafflesia yang tumbuh semula jadi dan menyedut zat daripada tumbuhan lain menyebabkan ia mudah menjadi mangsa kepupusan.

Katanya, terdapat juga kemungkinan bunga ini ‘diganggu’ pengendali pakej pelancongan yang kurang arif dengan sensitiviti rafflesia.

Untuk itu, Dr Zulhazman berkata, pihaknya sentiasa mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk mencari jalan yang terbaik bagi memastikan bunga berkenaan terus subur.

“Selain mengawal aktiviti penerokaan hutan, saya lihat tumbuhan ini boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong dan pengkaji dari seluruh dunia.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu terlebih dahulu menyediakan infrastruktur di kawasan berkenaan yang sesuai untuk aktiviti pelancongan eko. Mungkin di pintu masuk.

“Sayang jika kita tidak manfaatkannya sebaik mungkin kerana bukan semua tempat ada tumbuhan seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 6:04 AM