Garret Dawum


Kuala Lumpur: Keadaan lalu lintas di lebuh raya utama negara sehingga petang semalam tidak mengalami kesesakan luar biasa walaupun pada hari terakhir cuti penggal persekolahan di pantai barat.

Tinjauan Harian Metro di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati kenderaan mula memasuki ibu negara bermula jam 12 tengah hari.

Pergerakan kenderaan dari arah selatan dan timur menunjukkan peningkatan, namun semuanya terkawal.

Jurucakap Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata, aliran trafik bergerak lancar walaupun warga kota kembali ke rumah masing-masing selepas cuti sekolah.

“Trafik hanya bergerak perlahan di beberapa tempat seperti di Hentian Senawang menuju ke utara, Pedas Linggi ke Senawang, Pagoh ke Bukit Gambir, laluan mendaki Gua Tempurung, Tapah ke Bidor dan Sungkai serta Behrang ke Tanjung Malim kerana hujan.

“Keadaan ini hanya berlaku sejak jam 3 petang dan trafik turut lancar pada hari pertama 2017,” katanya.

Menurut jurucakap itu, pihaknya juga sudah menjangkakan aliran trafik perlahan setiap musim cuti persekolahan bermula atau berakhir.

“Pihak kami tidak menjangkakan kesesakan berlarutan berikutan ada warga kota yang sudah mengambil peluang untuk pulang lebih awal.

“Keadaan tidak diingini seperti kemalangan yang berlaku di kilometer 154.2 iaitu Pagoh menuju ke Bukit Gambir tidak mengganggu aliran trafik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:29 AM
 Keadaan lalu lintas menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur lancar.
Keadaan lalu lintas menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur lancar.