Sabin (kiri) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah sambil diperhatikan Dzulkifli pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah LHDN di Cyberjaya, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


Cyberjaya: Individu yang terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa turut berdepan tindakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) terutama kesalahan berkaitan mengelak bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, ia susulan jalinan kerjasama strategik bersama agensi berkenaan termasuk terbaharu menerusi Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani semalam.

Menurutnya, sebelum ini penerima serta pemberi rasuah berdepan tindakan mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta Akta Pengubahan Wang Haram.

“Sekiranya dalam siasatan SPRM mendapati tidak mencukupi keterangan yang diambil, mungkin mereka merasakan boleh bebas dan lepas tetapi sebenarnya mereka tidak akan terlepas daripada tindakan LHDN.

“Ini kerana biasanya apabila mengambil rasuah, mereka berpendapat tidak perlu mengisytihar pendapatan kerana jika berbuat demikian...nak kata ia daripada sumber mana,” katanya berucap pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, melalui kerjasama kedua-dua pihak itu, ia akan memastikan maklumat kes jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang disiasat SPRM dan dalam masa sama dirujuk kepada LHDN untuk mengambil tindakan menurut undang-undang berkaitan.

“Pada 21 Disember lalu, SPRM dan LHDN menjalin kerjasama strategik lebih erat bagi membendung dan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu terbabit jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan mengelak percukaian negara.

“Tidak cukup sekadar menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) pada 13 November lalu, kini LHDN mencatat sejarah menjadi agensi kerajaan pertama menyahut seruan SPRM menandatangani Ikrar Bebas Rasuah,” katanya.

Beliau berkata, Ikrar Bebas Rasuah unik dan berbeza dengan CIP kerana ia memberi penekanan ikrar serta janji dibuat kepemimpinan LHDN serta warganya dalam kapasiti sebagai individu untuk menjunjung tanggungjawab dan akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindar diri daripada godaan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:50 AM