MAT Yatim menunjukkan udang kertas atau digelar si merah putih yang mencecah RM80 sekilogram berbanding hanya RM40 sekilogram sebelum ini.
Zulfa Mohamad


Kepala Batas: Sejak tiga hari lalu, nelayan di Kuala Muda, Penaga, dekat sini, meraih ‘rezeki harimau’ berikutan harga hasil tangkapan terutama udang kertas atau digelar si merah putih melonjak sekali ganda iaitu RM80 sekilogram berbanding RM40 sekilogram, sebelum ini.

Selain udang, kenaikan harga beberapa tangkapan lain termasuk ikan kembung membolehkan nelayan terbabit kembali ‘bernafas’ selepas kesempitan berikutan kekurangan hasil tangkapan susulan fenomena ombak besar hujung tahun lalu.

Berikutan kenaikan harga hasil tangkapan, setiap nelayan memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM15,000 sehari manakala awak-awak memperoleh sekitar RM1,000 seorang.

Nelayan, Mat Yatim Mustafa, 63, berkata, udang kertas dan udang besar menjadi rebutan terutama ketika sambutan Tahun Baru Cina hujung bulan ini menyebabkan harganya melonjak sekali ganda.

Katanya, harga hasil laut berkenaan dijangka meningkat kepada RM90 hingga RM100 sekilogram beberapa hari sebelum sambutan perayaan itu.

“Ketika ini, harga hasil tangkapan meningkat kerana bekalan masih kurang selain negeri pantai timur dilanda banjir.

“Istilah ‘rezeki harimau’ memang sesuai bagi nelayan kerana adakalanya kami menbawa pulang hasil tangkapan banyak, tetapi kadang kala pulang tangan kosong,” katanya, semalam.

Selain harga udang besar yang mencecah RM3.50 seekor, harga ikan kembung turut meningkat kepada RM11 hingga RM13 sekilogram berbanding RM6 hingga RM8 sekilogram sebelum ini.

Nelayan, Amran Alias, 44, berkata walaupun hasil tangkapan kurang, ada nelayan meraih jualan sehingga RM15,000 kelmarin, tetapi ia dijangka bersifat sementara.

“Sejak beberapa hari lalu, purata pendapatan nelayan sekitar RM3,000 sehari, bagaimanapun ia hanya sementara kerana harga ikan kembali normal apabila bekalan pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:59 AM