HAMSA
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Kanak-kanak perempuan tahun tiga yang didakwa menjadi mangsa culik di Taman Desaria 1, di sini, kelmarin, sebaliknya dilarikan ibu kandung sendiri.

Dalam kejadian jam 10.45 malam kelmarin, Hamsa Vashalinee, 9, ditemui selepas ibu kandungnya berusia 34 tahun tampil di Balai Kuala Kubu Bharu membuat laporan selepas berita kehilangan anak perempuannya ditularkan di media sosial.

Menurut sumber, kedua orang tua kanak-kanak terbabit sudah bercerai dan sewaktu kejadian Hamsa bersama kakaknya tinggal bersama bapa dan ibu tirinya.

Katanya, ibu dan bapa kanak-kanak itu masih dalam proses mahkamah bagi menuntut hak penjagaan dua anak mereka.

“Hamsa kerap mengadu mahu berjumpa dengan ibu kandungnya. Jadi, sebelum kejadian kanak-kanak terbabit ada menghubungi ibunya untuk datang mengambil dia di rumah datuknya di Taman Desaria 1.

“Sewaktu Hamsa diambil oleh ibunya, jiran bapanya melihat kejadian dan dia tidak mengenali wanita terbabit adalah ibu kandung kanak-kanak berkenaan dan memaklumkan kepada keluarga mangsa selepas kanak-kanak terbabit didapati hilang,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam.

Menurutya, susulan kejadian laporan kehilangan kanak-kanak terbabit dilakukan oleh ibu tirinya di Balai Polis Sungai Way, jam 9.38 malam, hari sama.

Katanya, kejadian menjadi tular apabila kehilangan kanak-kanak terbabit disiarkan di sebuah kumpulan di Facebook dan disedari oleh ibu kandung kanak-kanak terbabit sebelum tampil ke balai polis bagi memaklumkan Hamsa ada bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:02 AM