Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Polis menumpaskan sindiket memproses dadah disyaki Eramin 5 bernilai RM3 juta serta menahan 11 individu termasuk dua wanita warga tempatan hasil serbuan di sekitar bandar raya ini dan Selangor, 9 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, rampasan pertama tahun ini hasil serbuan JSJN Johor serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di beberapa kawasan perumahan.

Beliau berkata, serbuan bermula jam 9 pagi hingga 11.20 pagi itu menyasarkan lapan premis kediaman termasuk menyerbu Taman JP Perdana dan Taman Desa Tebrau kerana disyaki menjadi makmal serta pusat membungkus dadah disyaki Eramin 5.

“Serbuan pertama di Taman JP Perdana kerana di situ terletak makmal memproses dadah Eramin 5.

“Dalam serbuan itu, polis menahan dua individu dan merampas serbuk putih disyaki dadah, 682 kilogram disyaki bahan kimia, 320 botol kaca mengandungi bahan kimia, 90 gram ketulan mampat, empat mesin dan peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Hasil serbuan itu, katanya, polis menyerbu beberapa premis lain termasuk di Bandar Baru Permas, Taman Harmonium Johor Bahru, Taman Megah Ria Masai, Taman Perindustrian Kuala Lumpur, Taman Perindustrian Kulai dan Bandar Pinggiran Subang Shah Alam, Selangor.

“Secara keseluruhannya polis merampas 7,460 pil disyaki Eramin 5, 312 pil ekstasi, 90 gram ketulan mampat ganja, 102 kilogram serbuk dadah, 42,960 kapsul dadah dan 340 pil turut disyaki dadah.

“Polis turut menyita harta bernilai RM2.5 juta membabitkan pelbagai mata wang bernilai RM55,346, selain 11 kenderaan dianggarkan bernilai RM2.1 juta termasuk Lamborghini, barang kemas bernilai RM124,320 dan jam tangan mewah bernilai RM214,000,” katanya.

Katanya, 11 suspek termasuk dua wanita berusia 29 hingga 63 tahun ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan sindiket pengedaran Eramin 5 itu.

“Malah, tiga daripada 11 yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala seorang daripadanya menjadi individu paling dikehendaki polis, selain dua yang lain positif ujian air kencing,” katanya.

Katanya, sindiket dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu sebelum mengedarkannya untuk pasaran Singapura dan Indonesia serta bekalan tempatan.

“Rampasan ini boleh menampung keperluan 150,000 penagih dan kita percaya ia untuk dihantar bagi memenuhi keperluan pusat hiburan,” katanya yang mendedahkan mesin yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Taiwan dan Singapura.

Katanya, semua suspek direman tujuh hari hingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Malah, pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes ini diarah melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin selain memburu dalang pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 11:26 AM
MESIN memproses dadah dibawa masuk dari Taiwan dan Singapura.
KERETA mewah termasuk Lamborghini.
MOHD Mokhtar menunjukkan barang rampasan hasil serbuan terhadap lapan premis di Selangor dan Johor pada 9 Januari lalu.