JAMIL Khir bersalam dan beramah mesra dengan ahli panel selepas majlis pelancaran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9 bertemakan Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Umat Islam di negara ini digesa tidak terlalu leka dengan kehadiran media sosial dan teknologi baru, memandangkan ada pihak yang cuba ‘menyerang’ pemikiran mereka dengan menggunakan medium ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ancaman dan serangan terhadap Islam hadir dalam pelbagai sudut dan kini ia dilakukan menerusi serangan pemikiran bentuk baru termasuk cuba mengaitkannya dengan agenda liberalisme dan pluralisme agama.

Katanya, risiko serangan pemikiran yang dihadapi umat Islam kini boleh diakses hanya di hujung jari menerusi pelbagai rangkaian media sosial termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook (FB) dan Instagram.

“Umat Islam diganggu dengan pelbagai maklumat dan ia boleh diakses tanpa mengira waktu dan di mana saja.

“Wujud segelintir pihak yang membincangkan Islam dalam pelbagai bentuk termasuk Islam itu syumul dan Islam sebagai gaya hidup namun, ia diolah dengan persepsi dan cara pendekatan yang berbeza,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-9 bertemakan Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati, di sini, semalam.

Wacana berkenaan dianjurkan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang menampilkan beberapa pembentang kertas kerja dan kertas dasar berhubung tema Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati.

Jamil Khir berkata, laungan ideologi ini dibawa dan diseret mengikut pandangan liberalisme dan pluralisme.

Dalam pada itu, katanya, institusi agama Islam turut diserang atas nama pluralisme dan liberalisme.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 10:12 AM