ANGGOTA polis mengiringi Ahmad Ridduwan di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang tukang gunting dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana mencuri syiling RM100 milik kedai runcit.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Ahmad Ridduwan Mohamed @ Ariffin, 35, dari Kampung Batin, Seberang Takir di Kuala Nerus, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua bungkusan syiling RM100 milik Syed Salim Syed Ahmad, 59, di kedai Perniagaan Habib Kompleks Kampung Tiong, di sini, jam 8 pagi pada 29 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa membuka pintu kedai untuk membuat persiapan bagi memulakan perniagaan kira-kira jam 8 pagi pada 29 Januari lalu.

Sebaik pintu utama dibuka, mangsa pergi ke belakang kedai untuk membuka pintu belakang tanpa menutup pintu utama.

Bagaimanapun, mangsa yang kembali ke hadapan kedainya ternampak tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di sebelah kedainya berada di dalam premisnya sambil memegang dua bungkusan mengandungi syiling.

Terkejut dengan perbuatan tertuduh dipercayai mahu mencuri syiling yang disimpan di bawah kaunter pembayaran itu, mangsa menahannya sebelum menyerahkannya kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:25 AM