Kakitangan MPK melakukan kerja menebang pokok dan dahan bagi memastikan keselamatan pengunjung di Teluk Chempedak, Kuantan.

Kuantan: Tiga pemilik kereta termasuk Proton Perdana yang remuk teruk selepas dihempap pokok di kawasan pelancongan Teluk Chempedak, di sini, Sabtu lalu, boleh mengemukakan tuntutan insurans kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, sebelum tuntutan dilakukan mereka perlu membuat laporan polis bagi pengesahan kejadian itu, sekali gus memudahkan urusan.

Katanya, sebagai langkah keselamatan pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas pokok yang berada dalam kawasan letak kereta milik MPK bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Setakat ini, kerja penebangan dan memangkas dahan pokok giat dilakukan MPK bagi memastikan keselamatan pengunjung dan kejadian pokok atau dahan tidak lagi menimpa kenderaan.

“Antara faktor kejadian pokok tumbang adalah cuaca iaitu angin kencang berikutan Monsun Timur Laut sejak awal bulan ini tetapi pemantauan dilakukan setiap hari,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sabtu lalu, tiga kenderaan iaitu Proton Perdana, Proton Wira dan Proton Preve mengalami kerosakan selepas pokok tumbang pada jam 5.15 petang.

Difahamkan, kejadian itu turut mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung apabila mereka sibuk mengalihkan kenderaan masing-masing kerana bimbang menerima nasib sama.

Seorang mangsa, Mohamad Amirul Mohd Sabri, 23, yang terselamat selepas kereta Proton Perdana miliknya remuk bersyukur hanya cedera ringan.

Sebelum kejadian, dia bersama adiknya, Nor Amy Suhada, 18, dan kakak iparnya, Nurul Idayu Nasarudin, 27, mengunjungi restoran makanan segera berhampiran tempat kejadian dan membuat pesanan menerusi kaunter pandu lalu.

Katanya, selepas menerima makanan dipesan, dia kemudian memandu secara perlahan-lahan keluar dari premis itu sebelum tersentak mendengar dentuman kuat diikuti bumbung keretanya remuk dan hampir hancur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:21 AM