DR Mushrifah (dua dari kanan) memberi taklimat pada program Komuniti dan Pemuliharaan di PPTC.
Rizanizam Abdul Hamid dan Asrizal Aris

Pekan: Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) memfokuskan keutamaan kepada program pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem kawasan sekitar Tasik Chini selain memelihara dan memulihara semula hutan tasik itu.

Meskipun banyak dakwaan mengatakan Tasik Chini bakal kering dan hilang menjelang 2030, PPTC yang ditubuhkan sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetap mempertahankan tasik itu sebagai warisan semula jadi Pahang.

Ketua Penyelidik Prof Datuk Seri Dr Mushrifah Idris berkata, selain penyelidikan bersepadu, pelbagai disiplin termasuk flora, fauna, kualiti air dan masyarakat turut dijalankan.

Katanya, ia bertujuan mengetengahkan program berasaskan pengetahuan terbuka untuk orang luar.

“Kami sangat mengalu-alukan sesiapa yang mahu ke sini untuk menyelidik mengenai kepelbagaian biologi serta merasai sendiri pengalaman tinggal di Tasik Chini.

“Selain itu, ada kawasan diberikan jolokan ekopelancongan apabila pelancong boleh menikmati persekitaran semula jadi sambil memulihara semula hutan dengan penanaman pokok,” katanya.

Menurut beliau, PPTC juga sentiasa menjaga hubungan baik Orang Asli kaum Jakun di situ yang terjalin sejak permulaan penubuhan PPTC pada 2004 bagi mengumpul maklumat untuk aktiviti penyelidikan serta menjalankan program termasuk aktiviti keusahawanan serta ekopelancongan.

Katanya, kompleks penyelidikan di PPTC diumpamakan ‘makmal hidup’ oleh penyelidik kerana dibina di kawasan yang mempunyai kekayaan sumber bio pelbagai.

“Makmal itu ditubuhkan khusus untuk menjalankan penyelidikan, pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat mengenai pengurusan tasik bersepadu kepada masyarakat.

“Selain makmal, PPTC turut dilengkapi kemudahan penginapan bertempat di kompleks pengurusan Chini 2 yang merangkumi penginapan asas bilik loteng, kabin untuk penyelidik dan pelajar, bot, surau, ruang serba guna dan makmal lapangan,” katanya.

Menurutnya, sejak 2004 PPTC menjalankan inventori data asal kawasan tadahan tasik berkenaan bertujuan memastikan pemuliharaan di kawasan itu terjamin seperti yang tertulis di dalam akta-akta pemuliharaan.

“Di sini kajian PPTC berperanan penting dan memastikan semua aktiviti dilaksanakan dengan mesra alam bermula aktiviti pelancongan sehingga aktiviti pembangunan.

“PPTC juga memodelkan bangunan yang memulihara pokok berharga untuk pendidikan generasi akan datang serta menyentuh dan melihatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:46 AM