SHAHRIR (tengah) menyaksikan majlis menandatangani persefahaman antara  FELDA dan OUM.
SHAHRIR (tengah) menyaksikan majlis menandatangani persefahaman antara FELDA dan OUM.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Faedah pengurangan 30 peratus bayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan diskaun 10 peratus yuran pengajian bakal dinikmati warga FELDA yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Tawaran itu diberikan OUM kepada petugas komuniti FELDA dan Jawatankuasa Perunding Peneroka yang layak selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara universiti berkenaan dengan FELDA dimeterai semalam.

Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Datuk Dr Mansor Fadzil berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya menawarkan Program Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian yang mengambil masa empat tahun pengajian.

“Tahun ini juga, OUM turut menawarkan satu kursus khas yang dibangunkan OUM bersama FELDA merangkumi sejarah dan latar belakang FELDA, organisasi FELDA, perniagaan FELDA dan tanggungjawab sosial FELDA.

“OUM berbesar hati menawarkan potongan yuran 10 peratus kepada semua pelajar yang mendaftar selain mereka layak memohon PTPTN atau pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bayaran yuran pengajian,” katanya kepada media ketika Majlis Menandatangani MoU berkenaan di Menara FELDA, semalam.

Majlis itu ditandatangani Dr Mansor dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Anuar Malek.

Katanya, OUM mempunyai 32 pusat pembelajaran seluruh negara yang menjadikan sesi pembelajaran lebih mudah kepada pelajar selain akses pembelajaran melalui kaedah dalam talian.

Sementara itu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama berkenaan kerana ia membuka peluang kepada warga FELDA menimba ilmu bagi berhadapan dengan cabaran masa hadapan.

“Ia satu penyesuaian yang baik dan membuka peluang kepada kita untuk menambah baik diri kita dengan cara yang lebih sistematik dalam suasana pembelajaran di universiti sambil bekerja.

“Saya percaya ia memberi manfaat jangka panjang kepada warga FELDA bukan saja dalam organisasi ini sebaliknya menjadi keperluan kepada generasi baru untuk meneruskan kesinambungan perjalanan pentadbiran FELDA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 5:12 AM