Antara 22 anggota kongsi gelap yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown, semalam.
myMetro

Georgetown: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, memutuskan kes pertuduhan terhadap 22 anggota kongsi gelap, Geng 24 Pulau Pinang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim, Roslan Hamid dalam prosidingnya berkata, hanya mahkamah berkenaan mempunyai bidang kuasa membicarakan pertuduhan terhadap semua mereka yang didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah -Langkah Khas 2012) (SOSMA).

Terdahulu, orang ramai yang berada di pekarangan kompleks mahkamah terkejut seketika apabila sebahagian daripada kumpulan lelaki terbabit menjerit perkataan SOSMA.

Mereka yang menghadapi pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang itu turut menjerit beberapa perkataan dalam bahasa Mandarin ketika dibawa masuk ke kompleks mahkamah menaiki kenderaan polis.

Pada 20 Februari lalu, semua lelaki berkenaan termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang berusia antara 24 hingga 55 tahun didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut subseksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Antara peguam mewakili semua tertuduh dalam kes berkenaan ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Tan Guat Cheng, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Wan Aizuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:37 AM