PENGHUNI mengisi waktu terluang dengan aktivi kerohanian.
Fazurawati Che Lah

Hulu Selangor: “Niat saya bukan untuk menggalak kanak-kanak tidak bersekolah, tetapi mahu menyelamatkan mereka dari terus hanyut dengan perkara tidak berfaedah, ” kata Pengasas Pondok Mahfuzah Mohamad Mat Yaman.

Beliau yang mengasaskan pondok itu di Jalan Hulu Tamu sejak lima tahun lalu sudah menyelamatkan lebih 50 penghuni berusia dari lima hingga 30 tahun termasuk orang kurang upaya (OKU) dan penagih dadah.

Hasrat murni pengasas yang juga pengurus pondok itu untuk memberi peluang kepada remaja yang ratanya di bawah umur untuk menjadi orang berguna.

Kata lelaki berusia 61 tahun itu, kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan adalah mereka yang terbiar dan tidak lagi bersekolah.

“Sebenarnya, mereka perlu diberi sedikit ruang dan peluang untuk kembali ke pangkal jalan kerana perjalanan hidup mereka masih panjang.

“Sebab itu, Pondok Mahfuzah diwujudkan untuk memberi perlindungan ketika mereka terumbang-ambing memilih jalan hidup.

“Cabaran sekarang mereka perlu bimbingan menjadi insan yang lebih baik kerana mereka juga hamba Allah yang perlukan dorongan. Apa yang mengejutkan saya, ada kanak-kanak ini yang hendak datang sendiri, bukan ibu bapa yang hantar, ” katanya.

Katanya kebanyakan penghuni di situ adalah mereka yang bermasalah selain tidak tahu mengaji dan solat serta tidak pandai membaca dan menulis.

“Saya tidak menyalahkan ibu bapa mereka, cuma saya sedih kerana dengan usia semuda itu mereka tidak dibimbing dengan keagamaan.

“Ada mereka tidak tahu langsung macam mana nak solat, malah tidak pandai mengaji, ” katanya.

Katanya, setiap penghuni yang dihantar ke situ tidak dikenakan sebarang bayaran, malah tiada had umur kemasukan, selain dibuka kepada warga emas.

“Ada rumah perlindungan lain mengenakan bayaran serta ada had umur. Tentulah tidak semua mampu membayar kos kemasukan kerana mereka juga datang dari keluarga miskin.

“Pondok Mahfuzah setakat ini hanya mendapat bantuan rakan dan sumbangan orang awam yang prihatin,” katanya.

Bercerita rutin harian penghuni di pondok Mohamad berkata, dua penekanan diberikan iaitu kerohanian dan pembangunan diri bagi memberi semangat kepada penghuni untuk berdepan cabaran di luar.

“Penghuni diajar berdikari dan saling membantu menguruskan pondok ini. Mereka akan bangun jam 6 pagi untuk solat Subuh dan mengaji.

“Sepanjang hari, mereka akan bergotong-royong memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Bacaan al-Quran pula hampir setiap masa, solat pula berjemaah,” katanya.

Katanya berikutan kekurangan dana, beliau tidak mampu mengupah orang untuk membantu menguruskan aktiviti pondok itu dan semuanya diuruskan sendiri bersama isteri Arifah Tayib, 24.

Jelasnya berikutan masalah kewangan juga, pembinaan pondok itu belum sempurna, malah asrama yang menempatkan warga emas baru saja roboh tiga bulan lalu.

“Besar harapan saya kalau ada yang sudi membantu bagi memberi keselesaan kepada penghuni. Pondok ini masih daif dan kami juga masih menggunakan air bukit untuk minum.

“Disebabkan asrama warga emas sudah roboh, mereka terpaksa pulang ke keluarga masing-masing. Bagaimanapun, syukur anak-anak di sini tidak pernah mengeluh dengan kedaifan pondok dan makan apa disediakan biarpun tidak semewah mana,” katanya.

Beroperasi dengan kos lebih RM3,000 sebulan, kata Mohamad, dia berterima kasih kepada orang awam yang terus memberi sumbangan agar penghuni di situ terus mendapat perlindungan dan ketenangan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam 1202 9020 4614 78 di atas nama Mohamad Mat Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:21 AM