Puchong: Kelekaan seorang wanita ketika mengendalikan mesin pengadun tepung mengakibatkan tangan kirinya tersepit, selain ditusuk besi mesin berkenaan.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari semalam, mangsa berusia 30 tahun itu dikatakan sedang melakukan kerja mengadun tepung di sebuah kilang di Taman Industri Puchong, di sini.

Kemalangan berlaku apabila tangan mangsa tiba-tiba terperosok ke dalam mesin yang sedang beroperasi.

Kejadian hanya disedari beberapa pekerja selepas terdengar jeritan mangsa sebelum mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari dan mengerahkan sepasukan anggota serta jentera ke lokasi.

Katanya, mangsa masih berada dalam keadaan sedar dengan tangan kirinya tersepit di dalam mesin pengadun berkenaan.

“Pasukan bomba terpaksa memotong besi yang tertusuk pada tangan mangsa menggunakan peralatan penyelamat khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:12 AM