NUR Jazlan  (tiga dari kanan) bersama Suhaimi (tiga dari kiri) dan Zulkifli (tengah) melihat pertunjukan War Dance oleh pelajar UPNM pada Konvesyen Kepimpinan Kelab PEMADAM Peringkat IPT 2017.
NUR Jazlan (tiga dari kanan) bersama Suhaimi (tiga dari kiri) dan Zulkifli (tengah) melihat pertunjukan War Dance oleh pelajar UPNM pada Konvesyen Kepimpinan Kelab PEMADAM Peringkat IPT 2017.

Kuala Lumpur: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dalam proses menubuhkan Kelab Remaja PEMADAM di sekolah menengah bagi menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah setapak ke bawah itu susulan kejayaan penubuhan Kelab PEMADAM peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Kita harap dengan penubuhan Kelab Remaja PEMADAM ini akan ada jaringan PEMADAM untuk turun ke sekolah mengadakan program.

“Sebelum ini kita ada terima laporan dadah mula memasuki sekolah rendah dan menengah. Jadi dengan adanya program kesedaran ini, ia dapat membantu pihak berkuasa membanteras masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Kelab PEMADAM Peringkat IPT 2017 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), semalam.

Hadir sama Naib Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Timbalan Yang Dipertua PEMADAM Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Mengulas mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan penuntut IPT. Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua PEMADAM berkata, perkara itu masih terkawal tetapi ia diperbesarkan pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 8:05 AM