Abdullah (kiri) berkata sesuatu kepada Dr Mohammad, semalam.


Kuala Lumpur: Fahaman ekstrem tidak timbul kerana sesuatu zaman, tempat atau agama tertentu sebaliknya hasil pemahaman salah, kecenderungan kebendaan dan penyelindungan psikologi diri hingga menzahirkan tingkah laku tidak normal.

Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia Sheikh Dr Muhammad Abdul Karim al-Issa berkata, perlakuan ini kadangkala dihubungkaitkan dengan agama bagi kepuasan diri atau untuk memberikan pelaku fahaman ekstrem itu kekuatan dan perlindungan atas nama agama.

Justeru, katanya, perlu berhati-hati terhadap penggunaan slogan atau nama keagamaan yang dihubungkan dengan Islam, tetapi terkeluar daripada kesyumulan nama Islam itu sendiri.

“Setiap pihak yang menganalisis isu fahaman ekstrem dihadapi hari ini menyimpulkan sama sekali tidak mempunyai sandaran intelek mahupun mazhab fiqah, bahkan adaptasi daripada sikap bias pelampau agama yang membawa idea bersifat khayalan semata-mata.

“Mereka adalah minoritinya orang muda yang membesar dalam persekitaran pergolakan politik dan amalan bermazhab. Persekitaran inilah yang mendorong mereka terbabit dengan keganasan,” katanya dalam ucapan Syarahan Perdana Wasatiyyah 2017,di sini, semalam.

Majlis dianjurkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) itu dirasmikan oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

Dr Muhammad berkata, ideologi tidak dapat dikalahkan sepenuhnya dengan kemenangan ketenteraan semata-mata, malah tindakan seumpama itu tidak lebih daripada mencantas pokok yang tampak pada zahir, tetapi akarnya tetap hidup yang akan mengeluarkan lagi pokok baharu dengan benih dendam dan konfrontasi lebih dahsyat.

“Malah, masih ada lagi ladang lain tersembunyi daripada pandangan yang masih menularkan racun pemikiran sesat.

“Fenomena inilah yang mengorbankan ramai anak muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 3:21 AM